Tugas-tugas Umum Pegawai Tadbir Diplomatik Malaysia

Tugas-tugas Umum Pegawai Tadbir Diplomatik Malaysia

Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) antara kerjaya di sektor perkhidmatan awam yang diminati oleh lulusan universiti dan para graduan baru. Sekiranya pelajar berminat menceburi kerjaya ini, mereka perlulah mempunyai kelayakan akademik yang baik, dinamik, bercita-cita tinggi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan negara.

Jawatan ini digolongkan di bawah kumpulan perkhidmatan pengurusan dan profesional dan diletakkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jawatan ini agak unik berbanding jawatan lain di sektor awam kerana calon-calon perlu melalui beberapa tahap penilaian sebelum dilantik ke jawatan ini secara tetap. Calon-calon yang  memohon serta layak akan dipanggil untuk menduduki peperiksaan bertulis memasuki peperiksaan perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik. Selepas itu, mereka akan dipanggil untuk sesi temuduga.

Mohon – Menduduki Peperiksaan Bertulis – Temuduga – Berjaya

Peringkat seterusnya ialah apabila berjaya melalui proses temuduga calon akan dilantik ke jawatan itu secara sementara. Di peringkat ini, calon perlu mengikuti latihan di Institut Tadbiran Awam Negara. Selepas menamatkan pengajian, bakal PTD akan dianugerahkan Diploma Peng­urusan Awam. Selepas mendapatkan diploma tersebut, barulah calon dilantik secara tetap sebagai PTD.

Sebenarnya proses-proses berperingkat ini mengajar para calon untuk menjadi sebahagian dari agen penyampaian maklumat kerajaan dan membantu pihak kerajaan dalam pembangunan negara.

Tugas-tugas Umum Pegawai Tadbir Diplomatik

Secara umumnya, di antara tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh seorang PTD termasuklah merancang, penggubal dan melaksanakan dasar-dasar awam mengenai pengurusan sumber tenaga manusia dan organisasi, sumber kewangan, ekonomi, pentadbiran dan pembangunan wilayah, daerah, tempatan, tanah, perancangan dan pentadbiran sosial.

Baca juga: Pegawai Tadbir dan Diplomatik: Maklumat Lengkap Kerjaya PTD

Selain itu, mereka terlibat dengan tugas-tugas lebih mencabar meliputi hubungan antarabangsa dan hal ehwal negara, keselamatan, pertahanan negara serta pengurusan teknologi maklumat.

Apa yang paling menarik, seorang PTD juga diberi peluang untuk berkhidmat sebagai pegawai-pegawai di kedutaan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di luar negara. PTD menawarkan gaji yang lebih baik berbanding jawatan pegawai tadbir lain selain menikmati elaun-elaun serta insentif-insentif lain.

Rujuk juga: Maklumat Jawatan PTD Malaysia untuk mendapat lebih kefahaman mengenai jawatan ini.